IQNA

Islam dan sains: Hari Alam Sekitar Negara

11:52 - October 28, 2021
Berita ID: 3100340
TEHRAN (IQNA) - HARI Alam Sekitar Negara (HASN) adalah penjenamaan semula bagi Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang disambut pada setiap tahun dari 21 hingga 27 Oktober bersempena dengan tarikh HASN yang jatuh pada 21 Oktober

Sambutan HASN adalah untuk mempromosikan pendidikan dan kesedaran mengenai alam sekitar secara meluas. Objektif lain sambutan HASN ini termasuklah menyediakan wadah kepada rakyat Malaysia untuk menghayati alam sekitar; mengiktiraf pihak yang terlibat memberi sumbangan di dalam konteks pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar; serta memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. 

Tema sambutan HASN iaitu ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’ bukan semata-mata slogan tetapi hakikat bahawa tanggungjawab memelihara dan memulihara alam sekitar sebenarnya terletak di atas bahu semua pihak sama ada di peringkat individu mahupun institusi. Peranan menguruskan alam ini adalah merupakan tanggungjawab manusia sebagai khalifah yang diciptakan oleh Allah S.W.T melalui Surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…” Oleh itu, hubungan antara manusia dengan alam adalah sangat dekat maknanya dengan tujuan penciptaan manusia dan amat perlu untuk kita memelihara keseimbangan di dalam alam ini demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita juga.

Bulan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W iaitu Rabiul Awal yang jatuh pada bulan Oktober pada tahun ini turut mengingatkan kita kepada adab-adab terhadap alam sekitar yang ditunjukkan oleh Baginda S.A.W yang patut kita teladani bersama. Antara adab dengan alam sekitar yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W yang sangat signifikan pada hari ini adalah untuk mengelakkan pembaziran:

“Daripada Abdullah Ibn Amru bin al-As R.A, beliau berkata maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini?” Maka Sa’ad menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat israf?” Lalu Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”

(Riwayat Ibn Majah, 425) 

Menurut Imam Al-Jurjani, israf merujuk kepada penggunaan sesuatu yang perlu secara berlebihan berbanding kadar keperluan, manakala membazir pula merupakan penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu.

Isu berkaitan air seperti pembaziran, pencemaran sungai akibat pembuangan sampah dan sisa tercemar ke dalam saliran air antara lain adalah berpunca daripada pengabaian adab-adab berkaitan alam sekitar ini. Adab terhadap alam sekitar sering dikesampingkan dan tidak dihayati sebaiknya sehingga timbul pelbagai kerosakan alam yang berlaku. Isu-isu alam sekitar melibatkan air, udara, tanah, haiwan dan tumbuh-tumbuhan adalah bersifat global dan memberi kesan kepada seluruh kehidupan termasuklah manusia yang bergantung kepada unsur-unsur yang ada di dalam dunia ini. 

Dengan adanya sambutan HASN dan hari-hari istimewa lain yang meraikan alam sekitar atau bumi ini, marilah kita sama-sama mengambil peluang dan pengajaran untuk menghargai nikmat berharga yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. Di samping itu, kita boleh mengikut contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W dalam konteks memelihara alam sekitar bagi menzahirkan kecintaan kita kepada Baginda S.A.W dan juga sunnahnya. 

 

captcha