IQNA

8:57 - December 01, 2021
Berita ID: 3100478
TEHRAN (IQNA) - NABI Muhammad S.A.W menggalakkan umatnya untuk membaca al-Quran kerana amalan ini bakal menjadi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak.

Ini berdasarkan daripada Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

“Bacalah al-Quran, kerana ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafaat kepada pembacanya.”

(Riwayat Muslim (804))

Syafaat merupakan pembelaan yang paling diperlukan ketika di Padang Mahsyar kerana pada waktu ini, segala harta dan anak pinak tidak lagi berharga. Tiada bantuan yang boleh diharapkan pada hari tersebut melainkan al-Quran yang datang membawa syafaat sebagai pembela yang mempertahankan pembacanya.

Hadis ini juga menggelarkan pembaca al-Quran sebagai Ashabul Quran yang bermaksud teman, pendamping atau pemilik al-Quran, gelaran yang mulia bagi sesiapa yang membacanya.

Untuk menjadi Ashabul Quran, tidak cukup sekadar membacanya sahaja. Pembacaan perlulah diiringi dengan pemahaman ayat al-Quran itu sendiri.

Rasulullah S.A.W mengingatkan kita agar jangan tergesa-gesa untuk menghabiskan al-Quran tetapi bacalah dengan menghayati maknanya.

Rasulullah S.A.W menegur mereka yang tergesa-gesa menghabiskan al-Quran dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, Nabi S.A.W bersabda:

لَا يَفْقَهُ مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فِي أَقَلَّ مِنْ ثَلَاثٍ

 “Tidak akan faham orang yang menghabiskan al-Quran kurang dari tiga hari (kerana mereka sukar menghayati makna al-Quran sekiranya dibaca dengan segera).”

(Riwayat Abu Daud (1349) dan al-Tirmizi (2949))

Marilah membaca al-Quran dengan tartilnya dan memahami maknanya. Mudah-mudahan pada hari kiamat nanti kita al-Quran datang kepada kita sebagai syafaat yang membela kita di hadapan Allah S.W.T.

harakahdaily.net

tanda nama: Syafaat ، al-Quran
Nama:
Email:
* komen:
* captcha: