IQNA

Penduduk Islam Perancis hadapi diskriminasi dalam pengajian tinggi

6:39 - February 20, 2022
Berita ID: 3100787
TEHRAN (IQNA) - Hasil kajian mendedahkan penduduk Perancis yang mempunyai nama Islam menghadapi diskriminasi apabila memohon program lepasan ijazah, berbanding mereka yang mempunyai nama etnik Perancis.

Penyelidik di Agensi Pemantauan Diskriminasi dan Kesaksamaan Pendidikan Tinggi serta Universiti Gustave-Eiffel, menghantar lebih 1,800 e-mel pada Mac 2021 kepada Pengarah Pendidikan di 607 program lepasan ijazah di 19 universiti negara itu.

Ini bertujuan untuk menguji diskriminasi terhadap penduduk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mereka yang berasal dari negara lain. Ujian dikendalikan oleh penyelidik yang menggunakan nama palsu.

Pengarah terbabit yang ketika dihubungi mendakwa mahukan pemohon yang datang dari pelbagai latar belakang dan tidak mengutamakan mereka dari latar belakang Eropah. Bagaimanapun, penyelidik mendapati keadaan sebaliknya.

Hasil kajian mendapati mereka yang mempunyai nama Islam, 12.3 peratus kemungkinan kurang menerima jawapan daripada e-mel yang dihantar kepada pengarah program lepasan ijazah.

Kadar peratusan lebih tinggi dalam bidang undang-undang, iaitu 33.3 peratus, manakala 21.1 peratus dalam bidang sains, teknologi dan kesihatan serta 7.3 peratus dalam bidang bahasa, kesusasteraan, kesenian, kemanusiaan dan sains sosial.

Bagaimanapun, hasil kajian mendapati tiada diskriminasi membabitkan pelajar OKU.

harakahdaily

captcha