IQNA

Rancang bunuh Raja Abdullah guna cincin beracun?

10:38 - October 27, 2021
Berita ID: 3100334
TEHRAN (IQNA) - Bekas pegawai perisik kanan Arab Saudi mendakwa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman pernah merancang untuk membunuh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz al-Saud dengan sebentuk ‘cincin beracun dari Rusia’.

Lapor Daily Mail, Saad Aljabri yang merupakan pegawai tertinggi dalam kerajaan Arab Saudi turut mendakwa Putera Mohammed Salman merupakan seorang psikopat tanpa empati yang tidak mempunyai emosi.

Aljabri menerusi satu temubual di program CBS 60 minutes mendakwa mempunyai bukti Putera Mohammed Salman merancang untuk membunuh bekas Raja Arab Saudi itu.

Aljabri segera melemparkan dakwaan terhadap Putera Mohammed Salman sebaik sahaja temu bual bermula.

“Saya berada di sini untuk memberi amaran mengenai seorang psikopat, pembunuh di Asia Barat yang menimbulkan ancaman kepada rakyatnya, Amerika Syarikat (AS) dan planet ini,” katanya.

Aljabri kemudian mendakwa Putera Mohammed Salman melakukan pelbagai kekejaman dan jenayah selain memaklumkan mempunyai bukti Putera Mahkota itu mengaku mahu menggunakan ‘cincin
beracun’ untuk membunuh Almarhum Raja Abdullah seawal 2014.

Aljabri mendakwa Putera Mohammed pernah berkata: “Saya mahu membunuh Raja Abdullah dan saya sudah mendapat cincin beracun dari Rusia. Saya hanya perlu berjabat tangan dengan beliau dan semuanya akan selesai.

“Saya sedar saya akan dibunuh suatu hari nanti kerana beliau (Putera Mohammed Salman) tidak akan berehat sehingga melihat saya mati.

“Beliau takut dengan maklumat yang saya ada,” katanya.

Aljabri mendakwa mempunyai dua rakaman perbualan yang disimpan secara selamat.

Aljabri yang merupakan bekas pegawai perisik setia kepada bekas Ketua Keselamatan Arab Saudi, Putera Mohammed Nayef (MBN), melarikan diri ke Kanada pada 2017 apabila MBN digulingkan oleh Putera Mahkota semasa itu.

Beliau juga mendakwa Putera Mohammed Salman menghantar ‘skuad hit’ ke Kanada untuk membunuh
dan mengerat badannya dengan kaedah sama seperti pembunuhan Khashoggi yang didakwa dilakukan ejen putera itu di Istanbul, Oktober 2018.

Program tersebut turut menampilkan salah seorang anak lelaki Aljabri iaitu Khalid yang berkongsi pengalaman mengerikan mengenai dakwaan penyeksaan menantu bekas pegawai perisik itu dalam usaha memaksanya untuk kembali semula ke negara itu.

Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat, Michael Morell yang turut muncul dalam program CBS itu menyifatkan Aljabri sebagai individu yang sangat setia kepada negaranya.

Sementara itu, Aljabri didakwa melakukan jenayah kewangan dan menjadi subjek tuntutan mahkamah yang difailkan oleh beberapa firma Arab Saudi berkaitan kerajaan yang mendakwanya melesapkan lebih AS$ 3 bilion (RM12.44 bilion) ketika bekerja untuk MBN. 

utusan.com
captcha