IQNA

Catatan

Peranan Imam Ridha (a.s.); memperkukuh akidah umat Islam; dari pembuktian Imamah hingga kebenaran Wilayah

18:26 - August 26, 2025
Berita ID: 3106910
IQNA - Imam Ridha (a.s.) 《امام رضا(ع)》 dengan hadis Silsilat al-Dhahab 《حدیث سلسلة الذهب》telah menegakkan hujah ke atas semua ulama dari kedua-dua mazhab tentang kewajipan mengakui Imamah Ahlulbayt (a.s.), kewajipan taat kepada mereka, serta hakikat bahawa tauhid tidak bermakna tanpa wilayah mereka (Ahlulbayt suci Kenabian SAW).

Laporan IQNA: memetik Pusat Akidah al-Rasd 《مرکز عقیدتی الرصد》, Syeikh Farouq al-Jubouri 《شیخ فاروق الجبوری》, seorang pengkaji dari Iraq menulis dalam catatannya mengenai peranan Imam Ridha (a.s.) dalam memperkukuh akidah umat Islam:

Adalah masyhur bahawa Imam Ridha (a.s.) hidup pada akhir abad kedua dan awal abad ketiga Hijrah, ketika gerakan ilmiah berkembang dengan pesat dan proses penulisan serta penyusunan kitab tersebar secara meluas. Pada masa itu, penterjemahan karya falsafah Yunani menjadi popular dan ramai cendekiawan Muslim menerimanya sepenuhnya. Hal ini membawa kepada kemunculan beberapa aliran pemikiran ateis serta kecenderungan akidah yang berbeza-beza, yang akhirnya membentuk pelbagai firqah kalam. Oleh itu, menentang mereka dan melindungi akidah Islam daripada idea-idea yang menyimpang daripada fitrah serta logik akal yang sihat adalah suatu keperluan.

Perkara-perkara utama yang dibahaskan Imam Ridha (a.s.):

1. Prinsip Tauhid

Imam (a.s.) banyak berbicara tentang isu-isu berkaitan tauhid, asma’ Allah 《اسماء الله 》, makna-maknanya serta sifat-sifat Allah – baik sifat-sifat positif seperti ilmu dan kekuasaan, mahupun sifat-sifat penafian seperti tidak dapat dilihat dan tidak terikat dengan tempat. [Musnad al-Imam al-Ridha, jil. 1, hlm. 9]

Antara yang terpenting, Imam Ridha (a.s.) menekankan pembuktian kewujudan Sang Pencipta. 

Al-Kulaini 《کلینی》 meriwayatkan dari Muhammad bin Abdullah al-Khurasani 《محمد بن عبدالله خراسانی، خادم امام رضا(ع)》, khadam Imam Ridha (a.s.), bahawa seorang lelaki zindiq (ateis) datang menemui beliau. Imam berkata kepadanya:

“Wahai lelaki, katakan kepadaku – jika apa yang engkau dakwa benar, bukankah kita sama sahaja dari segi hukum? Adakah solat, puasa, zakat, dan iman kita akan memudaratkan kita?” Lelaki itu terdiam. Lalu Imam berkata: “Dan jika apa yang kami katakan benar, sedangkan kamu menolaknya, tidakkah kamu binasa dan kami terselamat?” Lelaki itu menjawab: “Tunjukkan kepadaku bagaimana Dia dan di mana Dia?” Imam bersabda: “Celakalah engkau! Jalan yang kau tempuh itu salah… Allah tidak dikenali dengan ‘bagaimana’ dan tidak diukur dengan ‘di mana’, tidak dapat dicapai oleh pancaindera, dan tiada yang sebanding dengan-Nya.” [al-Kafi, jil. 1, hlm. 78]

2. Keadilan Ilahi

Perbahasan terpenting dalam bab keadilan Ilahi ialah isu qadha dan qadar 《قضا و قدر، و جبر و اختیار》serta jabr (paksaan) dan ikhtiar (pilihan bebas). 

Perbahasan ini melahirkan pelbagai aliran – antaranya Khawarij 《خوارج》, Jabariyyah 《مجبّره و مفوّضه》, Mufawwidhah 《》– sedangkan mazhab Ahlulbayt (a.s.) 《مذهب امر بین الأمرین》 ialah amr bayn al-amrayn (jalan pertengahan). Imam Ridha (a.s.) menjelaskannya secara tuntas.

Qadha dan Qadar: Imam Ridha (a.s.) meriwayatkan daripada nenek moyangnya bahawa amal manusia terbahagi tiga: wajib, fadilat (kebaikan tambahan), dan dosa. 

Yang wajib adalah dengan perintah Allah, keredhaan-Nya, qadha dan qadar-Nya serta ilmu-Nya. Yang fadilat bukan dengan perintah Allah tetapi dengan keredhaan-Nya, qadha dan qadar-Nya serta ilmu-Nya. Adapun dosa, ia bukan dengan perintah Allah, tetapi dengan qadha dan qadar-Nya serta ilmu-Nya – dan manusia dihukum kerana melakukannya. [al-Tawhid, hlm. 369]

Jabr dan Ikhtiar: Imam Ridha (a.s.) menolak fahaman bahawa Allah memaksa hamba atau menyerahkan segalanya tanpa campur tangan. Beliau bersabda: “Allah berfirman: Wahai anak Adam, Aku lebih berhak terhadap amal baikmu, dan engkau lebih berhak terhadap amal burukmu. Engkau melakukan dosa dengan kekuatan yang Aku letakkan dalam dirimu.” [al-Kafi, jil. 1, hlm. 157]

3. Prinsip Kenabian

Imam Ridha (a.s.) menjelaskan banyak persoalan tentang kenabian umum dan khusus, menyebut kisah para nabi seperti Adam, Ibrahim, Ismail, Yusuf, Musa, Yusha‘, Daniel, Khidr, Sulaiman, Isa (a.s.), serta Nabi Muhammad (s.a.w.).

Antara perbahasan penting ialah perbezaan mukjizat para nabi. Ibn al-Sikkit bertanya: “Mengapa Allah mengutus Musa dengan tongkat dan tangan bercahaya, Isa dengan perubatan, dan Muhammad (s.a.w.) dengan khutbah dan al-Quran?” Imam menjawab: “Kerana pada zaman Musa, sihir sangat meluas; maka mukjizat baginda membatalkan sihir mereka. Pada zaman Isa, penyakit berleluasa dan manusia memerlukan perubatan; maka beliau menyembuhkan buta dan kusta serta menghidupkan orang mati dengan izin Allah. Sedangkan Nabi Muhammad (s.a.w.) diutus pada zaman ketika masyarakat sangat mengagungkan syair dan pidato; maka beliau datang dengan Kitab Allah, yang membatalkan hujah mereka dan menjadi bukti kebenaran.” [al-Kafi, jil. 1, hlm. 24]

Peranan Imam Ridha (a.s.) dalam memperkukuh akidah umat Islam

4. Prinsip Imamah

Imam Ridha (a.s.) memiliki kedudukan istimewa dalam isu Imamah. Beliau menjelaskan banyak perkara berkaitan Imamah, membongkar rahsia-rahsianya, antaranya: bumi tidak akan dibiarkan tanpa Imam – jika tidak, ia akan menelan penghuninya; perbezaan antara Rasul, Nabi dan Imam; bahawa para Imam (a.s.) adalah pemegang amanah Allah di bumi; serta kewajipan taqiyyah bagi para Imam (a.s.), sebagaimana Imam Ridha (a.s.) sendiri menerima jawatan wali ‘ahd (putera mahkota) di bawah paksaan dan ancaman bunuh oleh al-Ma’mun al-‘Abbasi.

Imam Ridha (a.s.) juga menyinggung tentang akidah Mahdawiyyah – seperti kewajipan menanti al-Faraj, tanda-tanda kemunculan, amaran tentang fitnah akhir zaman, khabar peristiwa di era zuhur, gerakan Sufyani, dan pelbagai perkara lain. [Musnad al-Imam al-Ridha, jil. 1, hlm. 216–228]

Tiga kesan besar Imam Ridha (a.s.) dalam bab Imamah:

Pertama: Penjelasan tentang kedudukan Imamah dan sifat-sifat seorang Imam secara terperinci dan jelas, sehingga tidak tersisa keraguan sedikit pun.

Kedua: Menegakkan hujah kepada para ulama Ahlus-Sunnah tentang Imamah Ilahiah dan kaitannya yang erat dengan Tauhid melalui hadis terkenal Silsilat al-Dhahab.

Hadis ini adalah hadis qudsi yang diriwayatkan Imam Ridha (a.s.) dengan sanad daripada ayahandanya yang suci, daripada Rasulullah (s.a.w.), daripada Jibril (a.s.), daripada Allah SWT. Maka, seluruh perawi hadis ini adalah maksum. Justeru, para ulama Ahlus-Sunnah – bukan Syiah – menamakannya sebagai Hadis Silsilat al-Dhahab. Adapun menurut keyakinan Syiah, semua hadis yang disampaikan para Imam (a.s.) adalah sanad emas yang berakhir kepada Rasulullah (s.a.w.), sama ada sanad itu dinyatakan ataupun tidak.

Dengan hadis ini, Imam Ridha (a.s.) menegakkan hujah ke atas semua ulama kedua-dua mazhab tentang kewajipan mengakui Imamah Ahlulbayt (a.s.), menerima wilayah mereka, mentaati mereka, kembali merujuk kepada mereka, serta bahawa tauhid tidak mempunyai makna tanpa wilayah mereka.

Ketiga: Melindungi Syiah daripada fitnah Waqifiyyah.

Antara fitnah paling berbahaya yang hampir menjerumuskan Syiah ke lembah kehancuran ialah munculnya golongan Waqifiyyah pada zaman Imam Ridha (a.s.). Mereka adalah sebahagian pengikut Imam Musa al-Kazim (a.s.) yang bertindak sebagai pemegang amanah harta dan hadiah dari para Syiah. 

Imam al-Kazim (a.s.) biasanya membahagikan harta itu kepada orang-orang beriman miskin. Namun ketika baginda dipenjarakan oleh Harun al-Rasyid dan penahanan itu berlarutan, harta yang terkumpul di tangan para pengkhianat ini semakin banyak.

Selepas Imam al-Kazim (a.s.) syahid, dunia dan harta menggoda mereka. Mereka mendakwa bahawa Imam al-Kazim (a.s.) masih hidup dan dalam ghaibah. Mereka menolak kepimpinan Imam Ridha (a.s.). Walaupun Imam menasihati mereka, sebahagian bertaubat tetapi sebahagian lain terus degil. Imam bangkit menentang mereka kerana bimbang mereka merosakkan keyakinan umat terhadap Imamah Dua Belas Imam. Lalu beliau mengeluarkan kenyataan yang membongkar kepalsuan mereka sehingga masyarakat mengenali mereka dan perpecahan pun berlaku dalam barisan mereka.

Inilah hanya setitis daripada lautan keilmuan dan keberkatan Imam Ridha (a.s.) dalam bidang akidah dan kalam, yang akhirnya berakhir dengan sikap bermusuhan pemerintah ‘Abbasi terhadap beliau, termasuk sekatan dan tahanan rumah pada tahun-tahun akhir hayat sucinya.

4301383

captcha