Hujjatul Islam Alireza Ghobadi 《حجتالاسلام علیرضا قبادی》, seorang sarjana sosiologi dan pakar agama, menulis satu siri catatan dengan fokus pada kajian kedudukan perdamaian dalam al-Quranul-Karim, yang telah dikongsikan kepada IQNA. Teks penuh tulisan tersebut adalah seperti berikut:
Dalam perbahasan pertama, secara ringkas telah disentuh tentang kepentingan perdamaian dalam hubungan kehidupan sosial.
Dalam perbahasan kedua pula, beliau meneliti definisi perdamaian dan istilah yang seerti dengannya dalam al-Quranul-Karim. Manakala dalam perbahasan ketiga ini, perhatian diberikan kepada ayat-ayat paling asas mengenai perdamaian, iaitu ayat 61 dan 62 Surah al-Anfāl.
Dalam perbahasan lalu dinyatakan bahawa perkataan؛ "Silm" (سلم) dalam al-Quran adalah sinonim dengan "perdamaian".
Dalam al-Quran, perkataan tersebut muncul dalam bentuk silm 《سِلم》dan salm 《سَلم》 (dengan baris kasrah atau fathah pada huruf "sīn" serta sukun pada "lām"), yang membawa makna "damai dan perdamaian".
Bentuk lain daripada akar kata yang sama juga digunakan, namun dalam makna selain perdamaian, dan hal itu di luar lingkup perbahasan ini.
Salah satu ayat di mana perkataan silm bermaksud perdamaian ialah ayat 61 Surah al-Anfāl. Mungkin ayat ini merupakan ayat yang paling asas mengenai perdamaian; kerana konteks ayat-ayat sekitarnya berbicara tentang perang dan damai, perjanjian peperangan, pelanggaran perjanjian, dan hal-hal yang seumpamanya. Dalam ayat 61 dinyatakan:
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga cenderunglah kepadanya, dan bertawakkallah kepada Allah; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
Ayat berikutnya pula menolak kebimbangan dan keraguan sebagai alasan untuk menolak perdamaian, dengan menyatakan:
وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ
“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka cukuplah Allah (untuk menolongmu). Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman.”
Ayat-ayat ini menegaskan kepada Nabi (SAW): apabila musuh cenderung kepada perdamaian dan cara hidup yang damai, maka engkau juga hendaklah menyambutnya, bertawakkal kepada Allah, dan jangan bimbang akan kemungkinan adanya muslihat tersembunyi yang boleh mengejutkanmu atau menimpakan kerugian kerana kurangnya persiapan. Tiada sesuatu pun yang dapat mengejutkan Allah, dan tiada muslihat yang dapat melemahkan-Nya; sebaliknya Dia akan mencukupkanmu serta memberi pertolongan.
Sebagaimana ditegaskan dalam ayat 61 dan 62, penerimaan perdamaian adalah satu prinsip, dan sangkaan yang tidak berasas tidak boleh menjadi alasan untuk menolak perdamaian.
Konteks ayat juga menunjukkan bahawa kecenderungan kepada perdamaian ini merujuk kepada pihak yang sebelum itu telah melanggar perjanjian. Namun, meskipun mereka melanggar, ayat 61 tetap menyatakan: jika mereka condong kepada perdamaian, engkau juga hendaklah cenderung kepadanya. Antara perkara yang menarik untuk diperhatikan ialah penggunaan kata kerja yang sama (janahū 《جَنَحُوا》– cenderung atau tunduk) bagi merujuk kepada kecenderungan pihak musuh dan juga kecenderungan Rasulullah (SAW).
Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah mengkritik Imam ar-Redha a.s. kerana menerima jawatan wilayah ‘ahdi (perjanjian politik dengan al-Ma’mun), dan menganggapnya tidak wajar. Dia bertanya: “Mengapa anda menerima jawatan itu?” Imam menjawab: “Adakah kedudukan Nabi lebih tinggi atau kedudukan wasinya?” Lelaki itu menjawab: “Sudah tentu Nabi.” Imam bertanya lagi: “Adakah menerima tanggungjawab dalam pemerintahan orang Islam lebih buruk atau dalam pemerintahan orang musyrik?” Lelaki itu menjawab: “Sudah tentu dalam pemerintahan orang musyrik.” Maka Imam berkata: “Yusuf (AS) adalah seorang Nabi Allah, sedangkan al-‘Aziz Mesir adalah seorang musyrik. Nabi Yusuf sendiri yang meminta tanggungjawab itu, sedangkan aku dipaksa untuk menerimanya.” Dengan hujah ini, Imam menolak tanggapan bahawa kecenderungan menerima perdamaian adalah sesuatu yang tercela", malah dengan bukti ini kadang-kadang berdamai diperlukan untuk kelangsungan politik kebaikan umat manusia".
4301513